<![CDATA[fadzila-azni.com - Blog]]>Mon, 30 Mar 2020 04:09:04 +0800Weebly<![CDATA[CATATAN SPONDY - LENA YANG SESUNGGUHNYA]]>Wed, 25 Mar 2020 23:45:29 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/catatan-spondy-lena-yang-sesungguhnyaSeawal jam 5 pagi sehari selepas pembedahan saya dikejut untuk diberikan antibiotik dan juga morfin. IV antbiotik  disuntik ke branula di bahagian atas pergelangan tangan. Saya tidak ingat tangan yang mana satu kerana kedua-dua tangan saya kelihatan ada branula. Saya juga dalam keadaan antara sedar dan tidak sedar. Morfin, salah satu ubat penahan sakit opioid pula disuntik di kawasan collar bone. Sakit? Buat masa itu, deria rasa pada kulit saya tidak aktif. Rasa yang paling dominan hanyalah mengantuk yang amat.

Kemudian seperti biasa setiap selang beberapa jam tekanan darah dan suhu badan di ambil. Saya bertanyakan kepada Misi, sudah bolehkah saya bergerak. Sejak daripada selesai pembedahan semalamnya sehingga ke keesokan pagi tersebut saya berbaring mengadap ke siling tanpa bergerak. Lenguh di seluruh anggota tidak terkata. Misi hanya memaklumi nota daripada pakar hanya mengatakan katil sahaja boleh digerakkan paling maksimum 60 darjah ke atas. Mereka meminta saya menunggu team spine tiba untuk memastikan had limitasi pergerakan saya dalam tempoh 24 jam ini.

Selesai subuh Encik Suami sudah tiba ke wad. Saya dalam keadaan sedar ketika itu. Beliau bertanyakan sama ada saya mahu bersarapan atau tidak. Beliau ada membawakan bubur. Oleh kerana bimbang akan muntah kembali, saya menolak. Saya hanya minum air beberapa teguk. Encik Suami memaklumi akan membawa Ibu Tercinta untuk menjaga saya. Saya mengiakan sahaja kerana masih lagi terasa gayat untuk ke mana-mana. Semestinya perlu juga membersihkan diri dan segalanya. Tentu dengan adanya Ibu Tercinta di sisi sangat-sangat menenangkan hati ini dan sangat-sangat membantu tatkala punya keterhadan dalam pergerakan fizikal. Sekalipun dipasang catheter, jadi untuk sementara saya tidak perlu ke tandas, namun hadirnya seseorang di sisi di sepanjang tempoh 24 jam awal selepas pembedahan ini sangat-sangat mengamankan hati. Selain tiub catheter, terdapat juga tiub untuk sistem drainage darah daripada wound surgeri dipasang daripada belakang dan disalurkan dalam bekas yang tergantung di sisi katil. Dalam bekas kelihatan darah pekat terus menitik. Keadaan begitu memang tidak menyelesakan langsung. Namun, digagahi juga kesemua. Encik Suami juga membantu sepenuh hatinya. Tidak sampai hati melihat Encik Suami begitu bersusah payah. Namun, bak kata beliau, itu memang menjadi tanggungjawab beliau untuk laksanakan sebaiknya. 

Selain merasa begitu mengantuk dan begitu tiada upaya untuk membuka mata, satu perkara penting yang disedari ialah tiada lagi kesakitan yang amat di bahagian betis kaki. Papan punggung juga tidak terasa sakit seperti mendapat PMS. Begitu juga dengan bahagian dalam peha. Tidak lagi terasa tegang. Kebas-kebas menyucuk dihujung kaki juga tiada. Keseluruhan kaki juga tidak terasa seperti tiang elektrik yang maha keras. Berbaring dalam keadaan lama juga tidak memberikan kesan yang menyakitkan. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Saya beritahu Encik Suami dan nampak wajah beliau menjadi lega. Paling tidak pembedahan ini menampakkan tanda positif. Alhamdulillah 'alaa kulli hal.

Apabila waktu menghampiri tengah hari, spine team tiba. Saya nampak Miss K, Mr L dan keseluruhan team ada. Keseluruhan team bermaksud termasuk juga para HO yang sedang menjalani pelatihan perubatan mereka serta MO. Cuma Mr Z selaku ketua spine team sahaja yang tiada. Kesemuanya ada dalam tujuh orang termasuk Miss K dan Mr L. Ya, saya sebagai pendidik di universiti sangat faham, sessi rawatan saya bermakna sessi pembelajaran kepada doktor-doktor pelatih dan bakal pakar. Saya merelakan, demi pengetahuan, demi maslahah ammah. Sesampai sahaja Miss K di katil terus saya tanyakan, sudahkah saya boleh bergerak. Beliau memaklumkan, ya, sudah tentu. Mesti bergerak untuk memastikan peredaran darah kembali normal dan mengelakkan berlakunya blood clot terutamanya di bahagian kaki. Miss K lantas mengajar saya untuk bangun dari katil. Saya perlu secara serentak menjatuhkan kaki ke bawah katil sambil mengangkat badan dalam keadaan kekal mengiring. Beliau meminta Encik Suami untuk menolong memaut tangan apabila saya bangun dari katil bagi tempoh beberapa hari. Miss K juga memaklumkan saya sudah boleh berjalan dengan perlahan-lahan selepas 8 jam pembedahan, bermakna saya sepatutnya sudah mula boleh berjalan pada masa spine team tersebut hadir.

Seterusnya Miss K meminta MO memeriksa saraf dengan cara meminta saya menolak tangan dengan kaki, baik di bahagian lutut, bahagian pergelangan dan bahagian ibu jari kaki. Mereka sangat gembira melihat semua pergerakan dapat dilakukan dengan baik tidak seperti sebelum pembedahan. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Miss K meminta saya menjaga wound sebaiknya kerana pembedahan telah dilakukan dengan sebaik mungkin. Proses close selepas pembedahan juga menurut MIss K sudah dilaksanakan dengan baik. Jadi sekarang giliran saya pula menjaga wound sebaik mungkin untuk kekalkan keadaan menjadi baik. Saya berjanji akan berusaha. Beliau juga berpesan, untuk solat perlu pastikan secara duduk dahulu dengan tidak membongkokkan badan. Saya juga tidak dibolehkan mengangkat barang yang lebih berat daripada 3 kg (?? Tesis sebuah sahaja sudah hampir menyamai 3 kg), dan tidak memusingkan bada secara twist. Dan yang paling-paling pantang, pastikan tidak jatuh. Phewww.  Kesemua pesan tersebut dapat difahami dengan jelas sekalipun merasakan ada sedikit-sedikit kesan morfin pada diri saya. Tetapi, ia merupakan hal serius. Mesti perlu diingati sungguh-sungguh. Dapat dilihat juga kumpulan HO yang mendengar dan meneliti penjelasan Miss K dan Mr L. Ketika ini saya terimbau wajah pelajar-pelajar di bawah pengajaran dan penyeliaan saya. Saling tak tumpah. Ada yang sangat aktif berpatisipasi, ada yang sibuk menyalin, ada yang bertanya jawab dan seperti biasa ada juga yang sangat tidak aktif sekalipun ditanya Miss K atau Mr L juga sepertinya tiada jawapan. Berdiri pun jauh-jauh sahaja, kurang pasti mereka dapat melihat apa yang ingin ditunjuki oleh Miss K dan Mr L atau tidak. Bila ditegur, ada alasan pula diberikan. Saya baru empat hari bermula sebagai HO. Ternyata itu bukan jawapan yang disukai, kerana ditanya balik, Jadi, apa yang kami buat untuk empat hari lepas? Saya juga akan berikan smashing yang sama kalau mendengar jawapan seperti itu. Oh, rindunya kepada pelajar dan bekas pelajar saya.

Selepas team spine, hadir pula team bius. Segerombolan juga yang hadir merangkumi pakar, MO dan HO. Ujian kesakitan pula dilaksanakan. Akhirnya saya dilihat sudah boleh dihentikan morfin. Terakhir akan diberikan pada sebelah petang dan akan dihentikn terus selepas itu. Sama seperti kumpulan team spine, ada HO yang pelbagai sifat dan daya kemampuan mereka.

Setelah team bius pergi, Encik Suami membiarkan saya melayani mengantuk saya dan pergi untuk membawa Permata Hati dan Ibu Tercinta masuk ke wad. Pada masa itu - Minggu ketiga Februari, keadaan wabak masih terlalu mild. Jadi Permata Hati dan Ibu Tercinta dibenarkan masuk ke wad untuk menziarahi. Rindunya saya kepada kesemua insan ini. Permata Hati sangat memahami, sekali pun usia tidak sampai sedekad namun tidak banyak masalah yang dicipta. Alhamdulillah. Ibu Tercinta pula dalam tempoh idah kerana lebih kurang dua bulan lalu Ayah Tercinta meninggalkan dunia fana' ini. Setelah merujuk kepada yang berilmu, mereka mengatakan Ibu Tercinta boleh dibawa merentasi sempadan beberapa buah negeri untuk bersama saya. Alhamdulillah. Selesai waktu melawat, Encik Suami dan Permata Hati pulang ke rumah. Tinggal Ibu Tercinta membantu diriku memenuhi segala keperluan. Kasihan sungguh melihat beliau. Dalam usia yang sebegini seharusnya diri ini yang menjaga beliau dan bukannya sebaliknya.

Bila mata tidak tahan berjaga, diri ini terus tertidur. Sekali-sekala bila terjaga, dilihat Ibu Tercinta juga tersengguk-sengguk. Perancangan yang juga menuruti permintaan Ibu Tercinta untuk menemani diri ini sepanjang malam ini kubatalkan dan kumaklumi pada Encik Suami. Biarlah Ibu Tercinta berehat dengan aman di rumah. Lebih-lebih diri ini sudah dibenarkan bergerak oleh pakar dan catheter masih lagi terpasang. Bermakna belum ada keperluan untuk ke tandas. Misi-misi juga sangat membantu untuk memenuhi keperluan apabila diperlukan.

Jadi, lewat petang Encik Suami, Permata Hati dan Ibu Tercinta pulang. Saya tinggal bersama teman-teman se-wad ortopedik. Dan mata pun terlelap lagi.

]]>
<![CDATA[CATATAN SPONDY - EPISOD DETIK ITU AKHIRNYA TIBA]]>Tue, 24 Mar 2020 23:54:59 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/catatan-spondy-episod-detik-itu-akhirnya-tibaAkhirnya seusai solat Zuhur di musolla kecil yang disediakan di wad, saya dimaklumi untuk bersedia. Sebelum ini telah diupdate pembedahan saya akan dijalankan pada jam 4. Saya lihat jam masih pukul 1 menghampiri ke pukul 2. Saya tanyakan Dr. S yang membawa berita tersebut. Diawalkan kah pembedahan saya? Dr. S maklumkan memang persediaan perlu awal. Jadi saya segera salin pakaian yang disediakan khusus untuk jalani pembedahan. Awal sebelum itu saya diberikan cecair Chlorexidine untuk mencuci seluruh badan. Ia bertujuan menghapuskan kuman pada kulit. Saya mohon kepada Misi dan Doktor untuk terus kekal memakai tudung dan hanya membukanya untuk digantikan dengan disposable surgical cap yang dibekalkan setelah memasuki dewan bedah. Surgical cap tersebut saya lihat lutcahaya dan tentunya tidak dapat menutup aurat pada rambut sepenuhnya dalam perjalanan saya ke Dewan Bedah. Alhamdulillah, Dr. S yang baik hati membenarkan. Sekalipun beliau bukan Muslim namun beliau sangat memahami dan menghargai prinsip yang dipegang oleh pesakit. Alhamdulillah, terima kasih yang Allah.

Saya kemudian disorong di atas katil untuk menuju ke Dewan Bedah yang terletak 2 tingkat ke bawah daripada wad yang diduduki. Dalam perjalanan keluar daripada wad, Dr. S melambai-lambai seraya tersenyum sambil mengucapkan kata-kata perangsang semuanya akan berlalu dengan baik. Encik Suami tidak mengiringi ke Dewan Bedah kerana hari tersebut ialah hari Jumaat. Beliau masih lagi dalam urusan Solat Jumaat berjamaah. Selepas itu pula beliau perlu menguruskan anak untuk ke kelas mengaji. Alhamdulillah Encik Suami sangat-sangat membantu menguruskan kesemua urusan rumahtangga dalam tempoh ini tanpa sedikit pun mengeluh. Sungguh-sungguh memahami. Pada sebelah pagi tadi juga telah siap berpesan kepada Encik Suami agar tidak perlu datang untuk menghantar saya ke Dewan Bedah. Sejujurnya saya memang sangat gementar. Kehadiran Encik Suami sebenarnya akan sangat-sangat menenangkan. Namun, beliau ada urusan yang tidak dapat tidak, perlu dilaksanakan. Perasaan saya boleh ditekan jauh-jauh di sudut hati.

Sesampai sahaja di Dewan Bedah saya diletakkan dahulu di tempat persediaan untuk pembedahan. Saya didorong dia atas meja pembedahan. Tudung saya digantikan dengan surgical cap. Satu lagi branula dipasangkan di tangan kiri. Sebelum ini branula yang dipasang pada tangan kanan masih ada. Saya lihat team yang terlibat semuanya sibuk mempersiapkan diri. Dari jauh saya nampak Miss K, seorang lagi pakar yang mengurus kes saya. Menurut Mr. Z, pakar spine yang juga merupakan ketua team pembedahan saya, Miss K juga akan berada dalam team beliau untuk pembedahan saya. Alhamdulillah. Nampaknya semua berjalan seperti yang dirancang.


Setelah semuanya siap saya dimasukkan ke ruang pembedahan. Apabila semuanya telah siap anesthesia mask ditekupkan ke hidung dan mulut saya. Dalam hati saya mengucap kalimah syahadah. Saya ucapkan juga dalam hati saya redha segalanya dan memohon agar Allah SWT menjaga Encik Suami dan Permata Hati saya sebaiknya. Terutamanya Permata Hati yang masih berusia tersangat muda. Moga Allah SWT menjaga mereka sekiranya pembedahan ini tidak seperti yang diharapkan. Saya pasrah. Beberapa saat selepas itu saya terus tidak sedar.

Buka sahaja mata saya lihat saya sedang didorong di atas katil keluar daripada Dewan Bedah. Di hujung katil sebelah kiri saya lihat Encik Suami turut berjalan sambil memandang wajah saya seraya tersenyum. Terasa betul-betul tenang bila melihat wajah itu. Saya kembali tidak sedar.

Apabila membuka mata semula saya sudah berada di wad. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Bermakna 6 jam lebih saya di dalam pembedahan. Saya lihat Encik Suami menggantikan surgical cap saya dengan tudung. Beliau menyuakan air kosong dengan straw ke mulut saya. Beliau meminta saya minum. Beliau maklumkan ramai yang bertanya tentang bagaimana keadaan saya. Tuan Pengarah, Guru saya. Semuanya bimbang kerana tidak dapat hubungi telefon saya - tentulah kan. Terkejut juga kalau hubungi telefon, saya yang menjawab semasa menjalani pembedahan saya sendiri. Saya minta bantuan En. Suami untuk maklumkan saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Saya juga tidak boleh berhenti batuk. Memang kesan biasa selepas pembedahan. Itulah yang Misi-Misi maklumkan. Kerana semasa pembedahan, tiub pernafasan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan untuk membantu pernafasan di sepanjang tempoh pembedahan. Perkara ini menyebabkan kegatalan terasa di saluran pernafasan. Ia merupakan penyebab utama berakunya batuk beberapa hari selepas pembedahan.

Dalam kesayupan saya juga mendengar misi berpesan kepada Encik Suami jangan diberi makan lagi kepada saya kerana bius daripada pembedahan boleh juga mengakibatkan kesan sampingan seperti muntah-muntah pada kebanyakan orang. Jadi berterusanlah saya perlu menahan diri daripada makan. Tak mengapa, sebab bukanlah merasa lapar pun di saat itu. Perasaan yang lebih dominan pada ketika itu ialah mengantuk yang amat sangat. Setelah Encik Suami minta izin untuk pergi kerana sang Permata Hati di rumah asyik bertanyakan beliau saya lalu terlelap.

Sesekali saya dikejutkan oleh Misi untuk diambil tekanan darah - saya dimaklumi tekanan darah saya terlalu rendah, suhu badan - normal tidak demam, diberikan iv antibiotik dan morfin untuk tahan sakit serta untuk persalinan diri yang juga diuruskan oleh Misi. Alhamdulillah. Selepas tiap kali dikejut, terus terlelap semula.

Di tengah malam, terjaga dan terus muntah berkali-kali. Hanya air sahaja yang keluar. Saya memanggil Misi. Mereka segera datang. Pergerakan saya masih sangat terhad. Saya pasrah diperlakukan apa sahaja oleh Misi yang sangat mengambil berat keadaan tiap pesakitnya. Setelah saya benar-benar berhenti muntah mereka segera lap mulut dan badan saya yang dibasahi muntah, menukar pakaian saya, alas tempat tidur dan membersihkan muntah yang telah mengotori lantai di sekeliling katil. Dan, sekali lagi saya terlelap.

]]>
<![CDATA[CATATAN SPONDY – EPISOD DEBARAN MENANTI SAAT DAN KETIKANYA]]>Mon, 23 Mar 2020 15:01:54 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/catatan-spondy-episod-debaran-menanti-saat-dan-ketikanyaSabtu 21 Mac baru-baru ini genap sebulan saya jalani Transforaminal lumbar interbody fusion (TLIF) untuk keadaan spondylolisthesis yang saya hadapi. Sabtu 21 Mac juga menandakan telah seminggu saya discaj daripada hospital untuk rawatan wound daripada TLIF tersebut. Untuk lebih jelas, tarikh pembedahan TLIF saya ialah pada 21 Februari 2020 yang lalu. Pada asalnya tarikh yang ditetapkan ialah 17 Januari 2020. Namun, Allah SWT lebih tahu hikmah-Nya, pembedahan saya ditunda ke 21 Februari. Salah satu hikmah yang mungkin saya lihat ialah suami dan anak perlu warded di hospital kerana Preseptal Cellulitis. Saya bertanggungjawab menjaga mereka di sepanjang tempoh tersebut. Alhamdulillah pada masa itu masih belum tiba masa pembedahan saya.

Selepas pembedahan, saya telah dibenarkan discaj pada 24 Februari 2020. Tetapi, perlu masuk semula pada 5 Mac 2020 kerana ada Surgical Site Infection (SSI) pada spine wound saya. Akhirnya, discaj pada 14 Mac 2020, di tengah kekalutan wabak covid-19. Saya ditempatkan di wad ortopedik pada kali pertama admit, yakni semasa ingin menjalani pembedahan. Dan pada masa itu, isu jangkitan covid di hospital tempat saya di bedah masih dalam keadaan tenang. Hanya bermula pada 6 Mac 2020 sahaja baharulah suami saya memaklumi tatkala ingin datang melawat terdapat laluan ditutup dan ramai petugas-petugas hospital memakai PPE. Kemungkinan ada kes covid yang masuk pada hari tersebut.

Sejujurnya sewaktu admit masuk ke hospital, 20 Februari 2020 untuk menjalani pembedahan TLIF ini, saya sangat gementar. Gementar dengan pembedahan yang julung-julung kali akan saya lalui. Sebelum ini saya tidak pernah menjalani sebarang bentuk pembedahan pun. Lebih-lebih lagi bahagian yang ingin dibedah ialah tulang belakang. Kunci utama pergerakan fizikal saya selaku insan. Sebelum bersetuju dengan pembedahan tersebut para pakar perubatan telah memaklumi risiko-risiko yang berkemungkinan boleh terjadi dengan dan tanpa pembedahan. Saya faham sepenuhnya. Saya juga diminta membuat pengkajian sendiri tentang TLIF. Ia sememangnya mengerikan. Ia juga merupakan pembedahan yang major. Akan dimasukkan beberapa skru, sangkar dan rod titanium di bahagian lumbar tulang belakang saya. Allahu akbar. Namun oleh kerana risiko membiarkan sahaja keadaan spondylolisthesis ini lebih parah, maka saya cekalkan juga hati menjalani pembedahan ini. Ramai yang bertanya. Bermacam-macam soalan. Sepertinya saya boleh buat siri FAQ pula. Mungkin saya akan buat siri FAQ juga selepas ini. Namun, keputusan yang diambil - menjalani pembedahan TLIF diteruskan jua.

Pembedahan TLIF saya akan diketuai oleh pakar spine yang memang terkenal lebih-lebih lagi di sebelah utara. Banyak hospital yang merujuk kepada beliau untuk apa-apa isu spine. Kemudian team beliau terdiri daripada 3 lagi pakar spine dan ortopedik lain, 2 M.O dan 7 lagi H.O yang menjaga saya dari mula persiapan pembedahan hinggalah saya dibenarkan discaj.

Apabila admit sahaja; sehari sebelum pembedahan dijadualkan, saya perlu menandatangani beberapa dokumen. Dokumen persetujuan pembedahan dijalankan, dokumen mengesahkan memahami risiko-risiko dan bermacam-macam dokumen lagi. Ia membuatkan debaran semakin memuncak. Disajikan dengan bermacam-macam risiko yang boleh berlaku daripada pembedahan yang akan dihadapi. Allah.

Seorang misi, saya namakan di sini Misi E ada maklumi saya dia melihat saya sangat gementar. Misi E lalu berikan kata-kata untuk melunakkan perasaan saya. Alhamdulillah. Saya juga sering bertembung dengan MIsi E di tempat solat wad saya duduki. Saya perhatikan beliau seringkali solat di awal waktu. Alhamdulillah, moga Allah SWT menjaganya dan melindunginya.

Pasti? Sejujurnya saya sendiri tidak 100% pasti yang pembedahan yang akan saya lalui ini ialah apa yang benar-benar saya kehendaki. Cuma memikirkan risiko dan kesakitan yang dihadapi membuatkan hati terus cekal untuk meneruskan. Ramai yang memberikan alternatif-alternatif rawatan lain. Namun, lebih banyak petunjuk yang berlaku pada diri membuatkan hati terasa, inilah mungkin yang terbaik yang Allah SWT ingin lorongkan saya untuk lakukan. Malah sewaktu berdebar menanti saat untuk dibedah juga masih ada insan mengatakan ada alternatif lain selain menjalani pembedahan. Maaf, saya teruskan jua.

Tatkala masuk ke hospital, saya ditempatkan di wad yang menempatkan 12 katil. Semasa mula-mula masuk 6 buah katil termasuk katil saya diduduki oleh pesakit. Jadi, tidaklah terlalu sesak. Masih ada beberapa katil yang kosong. Majoriti 6 pesakit ini tidak ditemani sesiapapun di sebelah malam. Jadi, terasa lega kerana saya juga meminta suami untuk tidak perlu menemani saya memandangkan anak akan bersendirian pula di rumah. Saya juga tidaklah begitu kisah sekalipun tidak dapat berpindah ke wad yang bersesuaian dengan kelayakan saya. Di wad sedia ada ini, terasa sudah cukup selesa.

Sebelum pembedahan, seperti biasa branula perlu dipasangkan. Dan... seperti biasa juga ia menjadi cabaran terbesar kepada para doktor. Urat saya halus, daging saya tebal dan bermacam-macam lagi pernyataan diutarakan apabila seperti biasa, terpaksa mencucuk di begitu banyak tempat semata-mata ingin mencari the right spot. Cuma seorang doktor, H.O yang begitu penyabar dan humble saya namakan Doktor S, saya liha tidak berputus asa. Diusahakan juga sambil beribu-ribu kali mengucap maaf kerana menyakiti saya dengan jarum sebesar 20 gauge. Saya maklumkan pada beliau, tak mengapa. Saya pasrah. Beliau tersenyum.

Pembedahan saya direncanakan sebagai yang kedua dalam senarai pembedahan tulang belakang pada hari yang dijadualkan keesokannya. Pesakit pertama akan masuk ke dewan bedah dalam jam 8 pagi. Saya pula diminta bersedia seawal jam 12 tengah hari, sebaik sahaja pembedahan beliau selesai. Selesai sahaja pembedahan beliau, saya pula akan mejalani pembedahan. Diminta berpuasa sejak jam 7 pagi lagi. Namun, bila tiba jam 1 petang, masih belum juga dipersiapkan untuk ke dewan bedah. Perutpun sudah mula berbunyi-bunyi. Alhamdulillah, akhirnya dimasukkan IV drip. Jadi, tidaklah terasa begitu lapar. Saya juga kurang pasti ada kaitan atau tidak antara IV drip dengan menghilangkan rasa lapar. Jiran katil sebelah yang memberikan fatwa. Saya dimaklumi oleh Dr. S, pembedahan pertama lebih rumit yang dijangka. Bermakna pembedahan saya akan bermula lebih lewat daripada yang dijadualkan. Allah, penantian yang sememangnya perit semakin menguji. Bermacam doa dipanjatkan. Bermacam-macam juga gambaran yang menerpa dalam fikiran. Dek kerana terlalu gementar, saya serahkan telefon kepada suami. Biarlah disaat ini tiada sebarang panggilan yang dijawab, tiada sebarang mesej yang dibaca. Cuba memenangkan diri dengan apa sahaja cara yang telah diajarkan oleh para guru, cara yang dipesan oleh Rasulullah, cara yang digariskan dalam al-Quran. Kesemuanya setakat yang termampu diusahakan. Allah sahaja yang tahu isi hati dan keadaan ini.

]]>
<![CDATA[PENYEJUK MATA RATU HATI]]>Fri, 31 Jan 2020 02:28:02 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/ratu-hatiSemasa berkonsultasi dengan pakar mata yang merawat anak, beliau memaklumi bahawa anak diperhatikan sekalipun dalam kesakitan masih boleh tersenyum, masih boleh bersembang dengan beliau, masih lagi ramah mesra, tidak ketakutan apabila dirawat sekalipun yang dirawat ialah bahagian dalam mata dan peralatan rawatan merupakan equipment yang seharusnya menggerunkan kanak-kanak. Hal ini jarang diperhatikan pada pesakit kanak-kanak yang lain. Beliau merumuskan berdasarkan pengalaman beliau yang sebelum-sebelum ini, sikap anak datang daripada cara didikan terhadap anak dan bagaimana hubungan kedua ibu ayah dengan anak di sepanjang anak dibesarkan. Beliau berpesan, cara didikan dan bagaimana kami berdua suami isteri berhubung dengan anak ialah cara yang positif dan harus diteruskan untuk memastikan anak dapat terus bersikap positif dan mampu meraih pelbagai kejayaan di masa hadapan.

Jujurnya bila melahirkan, tugas sebagai ibu benar-benar membuatkan diri ini gementar. Gementar tidak melakukan perkara yang betul dalam membesarkan dan mendidik anak, gementar kerana tidak menjaga dan melindungi anak sebaiknya atau  secukupnya, gementar akan membuat silap sehingga boleh mempertaruhkan anak itu sendiri, gementar kerana tidak melakukan secukupnya demi kebaikan, kebajikan dan keimanan anak. Jujurnya juga, di awal kelahiran saya benar-benar mencari satu figura yang boleh dijadikan role-model ibu mithali yang berkerjaya dan berjaya dalam menjalankan kedua-dua fungsi ibu dan kerjaya dengan cemerlang. Dalam sejarah misalnya, lebih banyak cendekia Muslim yang ditonjolkan berbanding Muslimah. Sedangkan kedua-dua sekalipun pembezanya hanyalah taqwa, namun majoriti hal yang membawa kepada ketaqwaan itu berbeza antara keduanya. Jujurnya (Jujur yang ke sekian kali), saya tidak berpeluang menemukan figura tersebut di hadapan mata. Dari sudut keilmuan pula, memang benar bahawa panduan keibubapaan sangat banyak diterbitkan oleh pelbagai pihak dari pelbagai aspek, tetapi memetik kata-kata:

The problems with all the how-to, step-by-step books is they don't take into account the exceptions to the rules. They never leave room for the outliers, the geniuses, the miracles. Because books are black and white and everything in real life is a messy shade of grey. So nothing can truly prepare us for the beautiful, painful things we never imagined possible. Or the moments no one ever saw coming. - Richard Weber (GA S15E7).
Jadi, saya ber'ijtihad' sendiri tentang apa yang harus dilakukan dalam konteks sekarang, dalam konteks pekerjaan yang saya lakukan, dalam konteks persekitaran yang saya lalui dan hanya berserah kepada Allah akan 'ijtihad' tersebut, moga-moga ia ialah apa  yang Dia redhai. Tumpuan pada anak, pendidikannya, penjagaannya, pengorbanan yang dilakukan deminya - semuanya dilakukan sepenuh hati sekalipun terkadang terpaksa mengambil keputusan - kerjaya boleh ditangguhkan seketika. Walau dicemuh, direndahkan, dikata, malah dijerkah tetapi untuk julung kali, hati ini tidak kisah akan semua itu. Ini anak yang dilahirkan dari rahim ini, ia zuriat suami yang menjadi amanah Allah maka dia perlu dijaga walau apapun yang dipertaruhkan. Jujurnya, saya tidak pernah menyesali keputusan yang dilakukan dari awal kehadirannya hinggalah ke hari ini. Dan, kata-kata doktor ini tentang apa yang beliau perhatikan terhadap Ilman membuatkan air mata menitis, syukur ya Ilahi, Engkau lintaskan dalam hati ini apa yang harus dijalani. Syukur atas tiap kurniaan-Mu. Dan aku berdoa pada-Mu ya Allah, moga Engkau sentiasa memberi petunjuk. Moga Engkau sentiasa mendorong kami kepada jalan yang menuju keredhaan-Mu. Moga Engkau sentiasa Menjaga, Memelihara, Melindungi dan Membantu dalam Penjagaan-Mu, Pemeliharaan-Mu, Perlindungan-Mu dan Bantuan-Mu.

Reference:
Weber, R. (2018). Anybody Have a Map? Retrieved from:
https://greysanatomy.fandom.com/wiki/Anybody_Have_a_Map%3F.
]]>
<![CDATA[BILA INGIN PUTUS ASA, BILA TERASA MAHU GAGAL]]>Wed, 29 Jan 2020 16:00:00 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/bila-ingin-putus-asas-bila-terasa-mahu-gagal“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah, 90: 5-6).
Dua kali diulang dalam kitab-Nya al-Qur'an al-Kareem - penawar dan rahmat buat insan beriman bahawa kesenangan dan kemudahan itu datangnya selepas kesusahan dan kesulitan. Jadi, mengapa agaknya kita lupa? Mengapa bila menghadapi kesukaran maka putus asa yang sering timbul dalam benak fikiran; bukannya keyakinan pada janji Allah itu? Mengapa apabila ditimpa kesulitan demi kesulitan maka 'gagal' yang menjadi pilihan; bukannya bersabar dan terus yakin sebentar sahaja lagi akan tibanya waktu yang dijanjikan sebagai kemudahan buat kita? Apakah kerana pilihan 'putus asa' dan 'gagal' lebih mudah berbanding menanti tibanya janji Allah? Apakah kerana kita merasakan kita sudah berbuat kesemua kudrat kita hingga tiada lagi yang tinggal melainkan memilih untuk berputus asa dan memilih untuk gagal sahajalah kudrat yang tinggal maka secara tak langsung memilih untuk mengabaikan sahaja janji Allah SWT tersebut?

Alangkah sedihnya, kita yang telah diberi jaminan oleh Allah SWT pun masih lagi ragu dan tiada kesanggupan mengharungi kesulitan dan kesusahan demi mencapai kemudahan yang Allah SWT janjikan. Bagi yang tidak meletakkan iman dan kepercayaan kepada Allah SWT, tidak pun dijanjikan apa-apa - kita lihat mereka berhabis-habisan, sanggup menentang apa sahaja demi mencapai kemudahan yang mereka sasarkan. Saya bawa satu contoh sahaja: Pengasas kepada Jadual Berkala - asas sains pada hari ini, Dmitri Mendeleev pernah menceritakan bagaimana ibunya, setelah kematian bapanya terus berusaha membesarkannya dengan meneruskan perusahaan keluarga, kemudian diuji dengan ranapnya perusahan yang diusahakan kerana kebakaran, lalu terpaksa keluar dari kampung halaman untuk ke tempat lain demi kerana mencapai pendidikan yang baik. Tatkala baru sahaja diterima masuk ke pusat pendidikan yang diidamkan ibunya pula meninggal dunia kerana tuberculosis - faktor kematian yang sama seperti ayahnya.

'conducting a factory, she educated me by her own word, she instructed by example, corrected with love, and to give me the cause of science she left Siberia with me, spending thus her last resources and strength. When dieing she said 'Be careful of illusion; work, search for divine and scientific truth' - Dmitri Ivanovich Mendeleev (Source: Woods, G. (2007). Mendeleev - the man and his legacy... Retrieved from https://edu.rsc.org/feature/mendeleev-the-man-and-his-legacy-/2020190.article)
Bayangkan apa akan berlaku sekiranya ibu Dimitri memilih untuk putus asa? Apakah pula akan jadi apabila Dmitri memutuskan biarlah gagal sahaja kerana semuanya sudah lenyap buat dirinya - keluarganya, perusahaan keluarganya, segalanya. Dan mereka itu tidak pernah dijanjikan apa-apa jua pun.

KIta pula? Mengapa kita tidak memilih untuk mewarisi keperibadian dan kesungguhan para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in sehinggalah ke Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah menerima istilah gagal dan putus asas dalam berusaha menawan Kota Konstantinopel. Lebih 700 tahun lamanya usaha dilakukan. Bukan tujuh tahun. Bukan tujuh belas tahun. Bukan pun tujuh puluh tahun. Sehingga seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari yang berusia 98 tahun ketika itu turut juga berusaha merealisasikan janji tersebut sehingga meninggal dunia dan dimakamkan di tebing kubu Kota Konstantinopel. Begitulah usaha yang dilakukan yang hanya berbekalkan dengan janji Allah, janji Rasulullah. Usaha yang berbekalkan keyakinan itu juga bukan calang-calang usaha. Segala macam strategi dibuat. Tidak ada ruang langsung untuk kesilapan dan kelalaian wujud. Jadi apa alasan kita yang sebenarnya untuk berputus asas? Apa hujah kita di hadapan Allah untuk merelakan gagal menjadi pilihan dalam hidup?

]]>
<![CDATA[BILA BENCI & DENDAM MENGUASAI]]>Wed, 29 Jan 2020 03:03:22 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/bila-benciSeorang insan merangkumi 3 elemen - hati, akal dan nafsu. Maka apabila berbuat, tindakannya tidak akan lari daripada pengaruh ketiga-tiga elemen ini, bergantung kepada elemen mana yang lebih dominan. Kalau yang lebih dominan ialah akal - maka lahirlah tindakan yang rasional. Kalau yang dominan pula ialah nafsu maka lahirlah tindakan yang melulu. Kalau hati yang memimpin tindakan bergantung pula pada tahap iman yang bertapak di hati. Amat berbahagia kiranya tindakan didorong oleh keimanan yang tulus kepada Allah SWT, kerana tindakan itu akan lebih terbantu - dibantu oleh Allah SWT Penguasa seluruh alam. Sebalik, akan rugilah kalau tindakan itu berpunca atau didorong atau didominasi oleh nafsu tidak terdidik yang lazimnya penuh dengan hal negatif seperti kebencian dan dendam. Buruknya implikasi tindakan yang bersumberkan kebencian dan dendam boleh dipelajari daripada kisah musuh hakiki manusia, syaitan yang direjam. Titik tolak syaitan menjadi makhluk kufur ialah kebenciannya kepada Nabi Adam a.s. Permusuhan yang disebut-sebut dalam al-Quran - Sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu [al-Baqarah, 2: 168]; juga daripada perasaan dendam syaitan terhadap keturunan Adam a.s. Tidak ada kebaikan pun menyemarakkan kebencian dan dendam dalam hati, apatah lagi memanifestasi perasaan tersebut dalam tindakan dan perbuatan. Sedihnya, hari ini dapat dilihat berapa banyak kata-kata, perbuatan, tindakan yang semata berpunca daripada benih kebencian dan dendam. Berapa banyak pada hari ini yang kerana pernah menjadi mangsa, maka mula memangsa. Kerana tidak dapat menerima perbezaan yang diharuskan maka mula mendiskriminasi kerana berbeza. Kesemua itu menjadikan kitaran kebencian bukan sahaja berlarutan berputar malah makin mengganas putarannya. Apakah kebaikan yang diperoleh? Tiada! Apakah kemudaratan yang timbul daripada? Banyak! Terlalu banyak!
]]>
<![CDATA[INI BUKAN KES 'BIRU MATA HITAM KU']]>Tue, 28 Jan 2020 16:27:58 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/merah-mata-putih-ituDahulu semasa zaman persekolahan pernah beberapa kali menghidapi sakit mata merah. Nama sainsnya penyakit konjunktivitis. Ia dirujuk sebagai jangkitan virus pada mata sehingga menyebabkan keradangan pada lapisan atau selaput konjunktiva pada mata. Malah, sewaktu zaman persekolahan, memang sengaja berkongsi air mata rakan-rakan yang dijangkiti konjunktivitis hanya semata supaya jatuh sakit (secara berjemaah dengan rakan-rakan) dan boleh bercuti daripada menghadiri kelas untuk beramai-ramai menginap di sick-bay. Zaman berlalu. Kini apabila melihat mata anak pula menjadi merah, maka terus terfikirkan penyakit konjunktivitis. Tidak dinafikan sememangnya teringat bagaimana contagious-nya penyakit mata ini. Maka pada hari penyakit ini mula tampak pada mata anak, terus beliau dicutikan untuk dibawa ke klinik. Sebagaimana yang diagak, ubat titis telah diberikan oleh doktor selain ubat gatal. Hari berlalu dan apabila masuk hari keempat melihat penyakit mata tersebut semakin melarat sehingga mengakibatkan bengkak pada kelopak mata, maka anak sekali lagi dibawa ke klinik. Ubat titis yang lebih kuat menurut doktor yang ditemui telah diberikan bersekaligus dengan antibiotik, ubat demam dan ubat gatal. Tiga hari berturut juga anak tidak hadir ke sekolah. Alhamdulillah bersempena Tahun Baru Cina maka sekolah juga bercuti. Lega juga terasa kerana tidaklah banyak mata pelajaran yang anak terpaksa terlepas. Namun, setelah habis antibiotik yang diberikan, mata anak bukan setakat tidak semakin sembuh malah semakin serius sehingga kelopak mata sukar dibuka. Urat-urat pada mata juga kelihatan hitam atau biru. Hati ibu kini mula merasa sungguh takut. Lalu bersama suami anak terus dibawa ke hospital. Hospital pertama memaklumi kerana bersempena Tahun Baru Cina maka pakar mata bercuti panjang. Mereka merujuk ke hospital kedua. Alhamdulillah, di hospital kedua, pakar mata ada pada masa cuti. Beliau memaklumi penyakit mata anak bukanlah konjunktivitis tetapi orbital cellulitis. Tanpa rawatan segera orbital cellulitis ini boleh mengakibatkan kebutaan, kecatatan pada mata, hilang pendengaran, sepsis, jangkitan kuman pada selaput otak dan saraf tunjang, otak bernanah dan menjadi bengkak. Allahu akbar. Sebegitu serius. Terus hati berkecamuk berfikir yang bukan-bukan. Namun, Alhamdulillah, Allah lintaskan dalam hati kami berdua suami isteri membawa anak terus ke hospital dan Alhamdulillah juga Allah hadirkan pakar mata yang bertugas sekalipun semasa cuti perayaan yang panjang. Terima kasih ya Allah. Sebaik didaftar masuk, anak terus diberikan antibiotik dalam bentuk suntikan dan diminta masuk ke dalam wad. Ujian darah dan beberapa ujian lain dilakukan untuk kenal pasti tahap keseriusan penyakit. Kini sudah masuk hari ketiga anak dirawat di hospital dan kami berdua masih mengharapkan agar semuanya kembali sembuh dan dijauhkan daripada segala bentuk keburukan. Moga dipermudahkan ya Allah. Allahumma ya Fattah ya Salam ya Mukmin.
]]>
<![CDATA[PERMULAAN KALAM]]>Mon, 27 Jan 2020 19:45:33 GMThttp://fadzila-azni.com/blog/january-27th-2020Assalamu'alaikum wrh wb. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Walau ini posting yang pertama di platform ini, jujurnya saya sendiri telah memulakan begitu banyak blog. Sehinggakan saya sendiri tidak tercatat segala blog yang sudah dimulakan. Seringnya blog tersebut di-terbengkalaikan - tanpa niat pun. Melihat kepada hakikat ini, mengapakah masih perlu memulakan blog yang lain, yang baharu pula? Mungkin kerana ingin berhijrah; mungkin kerana mengambil peluang daripada platform website yang sudah diadakan untuk melangsaikan sebahagian keperluan tugas formal; mungkin kerana semangat baru tahun 2020; dan macam-macam mungkin lagi yang saya boleh ciptakan. Apapun, selaras dengan blog ini di-intim-kan dengan laman web yang berformatkan portfolio, maka tentunya dan diharapkan penulisan dalam blog ini biarlah yang selari dengan kandungan laman web fadzila-azni.com ini, insyaa-Allah. Jadi, harapnya tercetus banyak yang baik-baik daripada tinta tidak bertambat ini insyaa-Allah. Itulah cita-citanya. Itulah niatnya. Doakan!
]]>