fadzila-azni.com
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact
LAKARAN HATI

TINTA TAK BERTAMBAT

CATATAN SPONDY – EPISOD DEBARAN MENANTI SAAT DAN KETIKANYA

3/23/2020

0 Comments

 
Sabtu 21 Mac baru-baru ini genap sebulan saya jalani Transforaminal lumbar interbody fusion (TLIF) untuk keadaan spondylolisthesis yang saya hadapi. Sabtu 21 Mac juga menandakan telah seminggu saya discaj daripada hospital untuk rawatan wound daripada TLIF tersebut. Untuk lebih jelas, tarikh pembedahan TLIF saya ialah pada 21 Februari 2020 yang lalu. Pada asalnya tarikh yang ditetapkan ialah 17 Januari 2020. Namun, Allah SWT lebih tahu hikmah-Nya, pembedahan saya ditunda ke 21 Februari. Salah satu hikmah yang mungkin saya lihat ialah suami dan anak perlu warded di hospital kerana Preseptal Cellulitis. Saya bertanggungjawab menjaga mereka di sepanjang tempoh tersebut. Alhamdulillah pada masa itu masih belum tiba masa pembedahan saya.

Selepas pembedahan, saya telah dibenarkan discaj pada 24 Februari 2020. Tetapi, perlu masuk semula pada 5 Mac 2020 kerana ada Surgical Site Infection (SSI) pada spine wound saya. Akhirnya, discaj pada 14 Mac 2020, di tengah kekalutan wabak covid-19. Saya ditempatkan di wad ortopedik pada kali pertama admit, yakni semasa ingin menjalani pembedahan. Dan pada masa itu, isu jangkitan covid di hospital tempat saya di bedah masih dalam keadaan tenang. Hanya bermula pada 6 Mac 2020 sahaja baharulah suami saya memaklumi tatkala ingin datang melawat terdapat laluan ditutup dan ramai petugas-petugas hospital memakai PPE. Kemungkinan ada kes covid yang masuk pada hari tersebut.

Sejujurnya sewaktu admit masuk ke hospital, 20 Februari 2020 untuk menjalani pembedahan TLIF ini, saya sangat gementar. Gementar dengan pembedahan yang julung-julung kali akan saya lalui. Sebelum ini saya tidak pernah menjalani sebarang bentuk pembedahan pun. Lebih-lebih lagi bahagian yang ingin dibedah ialah tulang belakang. Kunci utama pergerakan fizikal saya selaku insan. Sebelum bersetuju dengan pembedahan tersebut para pakar perubatan telah memaklumi risiko-risiko yang berkemungkinan boleh terjadi dengan dan tanpa pembedahan. Saya faham sepenuhnya. Saya juga diminta membuat pengkajian sendiri tentang TLIF. Ia sememangnya mengerikan. Ia juga merupakan pembedahan yang major. Akan dimasukkan beberapa skru, sangkar dan rod titanium di bahagian lumbar tulang belakang saya. Allahu akbar. Namun oleh kerana risiko membiarkan sahaja keadaan spondylolisthesis ini lebih parah, maka saya cekalkan juga hati menjalani pembedahan ini. Ramai yang bertanya. Bermacam-macam soalan. Sepertinya saya boleh buat siri FAQ pula. Mungkin saya akan buat siri FAQ juga selepas ini. Namun, keputusan yang diambil - menjalani pembedahan TLIF diteruskan jua.

Pembedahan TLIF saya akan diketuai oleh pakar spine yang memang terkenal lebih-lebih lagi di sebelah utara. Banyak hospital yang merujuk kepada beliau untuk apa-apa isu spine. Kemudian team beliau terdiri daripada 3 lagi pakar spine dan ortopedik lain, 2 M.O dan 7 lagi H.O yang menjaga saya dari mula persiapan pembedahan hinggalah saya dibenarkan discaj.

Apabila admit sahaja; sehari sebelum pembedahan dijadualkan, saya perlu menandatangani beberapa dokumen. Dokumen persetujuan pembedahan dijalankan, dokumen mengesahkan memahami risiko-risiko dan bermacam-macam dokumen lagi. Ia membuatkan debaran semakin memuncak. Disajikan dengan bermacam-macam risiko yang boleh berlaku daripada pembedahan yang akan dihadapi. Allah.

Seorang misi, saya namakan di sini Misi E ada maklumi saya dia melihat saya sangat gementar. Misi E lalu berikan kata-kata untuk melunakkan perasaan saya. Alhamdulillah. Saya juga sering bertembung dengan MIsi E di tempat solat wad saya duduki. Saya perhatikan beliau seringkali solat di awal waktu. Alhamdulillah, moga Allah SWT menjaganya dan melindunginya.

Pasti? Sejujurnya saya sendiri tidak 100% pasti yang pembedahan yang akan saya lalui ini ialah apa yang benar-benar saya kehendaki. Cuma memikirkan risiko dan kesakitan yang dihadapi membuatkan hati terus cekal untuk meneruskan. Ramai yang memberikan alternatif-alternatif rawatan lain. Namun, lebih banyak petunjuk yang berlaku pada diri membuatkan hati terasa, inilah mungkin yang terbaik yang Allah SWT ingin lorongkan saya untuk lakukan. Malah sewaktu berdebar menanti saat untuk dibedah juga masih ada insan mengatakan ada alternatif lain selain menjalani pembedahan. Maaf, saya teruskan jua.

Tatkala masuk ke hospital, saya ditempatkan di wad yang menempatkan 12 katil. Semasa mula-mula masuk 6 buah katil termasuk katil saya diduduki oleh pesakit. Jadi, tidaklah terlalu sesak. Masih ada beberapa katil yang kosong. Majoriti 6 pesakit ini tidak ditemani sesiapapun di sebelah malam. Jadi, terasa lega kerana saya juga meminta suami untuk tidak perlu menemani saya memandangkan anak akan bersendirian pula di rumah. Saya juga tidaklah begitu kisah sekalipun tidak dapat berpindah ke wad yang bersesuaian dengan kelayakan saya. Di wad sedia ada ini, terasa sudah cukup selesa.

Sebelum pembedahan, seperti biasa branula perlu dipasangkan. Dan... seperti biasa juga ia menjadi cabaran terbesar kepada para doktor. Urat saya halus, daging saya tebal dan bermacam-macam lagi pernyataan diutarakan apabila seperti biasa, terpaksa mencucuk di begitu banyak tempat semata-mata ingin mencari the right spot. Cuma seorang doktor, H.O yang begitu penyabar dan humble saya namakan Doktor S, saya liha tidak berputus asa. Diusahakan juga sambil beribu-ribu kali mengucap maaf kerana menyakiti saya dengan jarum sebesar 20 gauge. Saya maklumkan pada beliau, tak mengapa. Saya pasrah. Beliau tersenyum.

Pembedahan saya direncanakan sebagai yang kedua dalam senarai pembedahan tulang belakang pada hari yang dijadualkan keesokannya. Pesakit pertama akan masuk ke dewan bedah dalam jam 8 pagi. Saya pula diminta bersedia seawal jam 12 tengah hari, sebaik sahaja pembedahan beliau selesai. Selesai sahaja pembedahan beliau, saya pula akan mejalani pembedahan. Diminta berpuasa sejak jam 7 pagi lagi. Namun, bila tiba jam 1 petang, masih belum juga dipersiapkan untuk ke dewan bedah. Perutpun sudah mula berbunyi-bunyi. Alhamdulillah, akhirnya dimasukkan IV drip. Jadi, tidaklah terasa begitu lapar. Saya juga kurang pasti ada kaitan atau tidak antara IV drip dengan menghilangkan rasa lapar. Jiran katil sebelah yang memberikan fatwa. Saya dimaklumi oleh Dr. S, pembedahan pertama lebih rumit yang dijangka. Bermakna pembedahan saya akan bermula lebih lewat daripada yang dijadualkan. Allah, penantian yang sememangnya perit semakin menguji. Bermacam doa dipanjatkan. Bermacam-macam juga gambaran yang menerpa dalam fikiran. Dek kerana terlalu gementar, saya serahkan telefon kepada suami. Biarlah disaat ini tiada sebarang panggilan yang dijawab, tiada sebarang mesej yang dibaca. Cuba memenangkan diri dengan apa sahaja cara yang telah diajarkan oleh para guru, cara yang dipesan oleh Rasulullah, cara yang digariskan dalam al-Quran. Kesemuanya setakat yang termampu diusahakan. Allah sahaja yang tahu isi hati dan keadaan ini.

Picture
0 Comments

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.

    Insan ini

    Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. 

    Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Perakaunan) dan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Ekonomi Islam) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ijazah Doktor Falsafah beliau diperoleh menerusi tesis beliau yang bertajuk Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di Malaysia juga dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 

    Bidang penyelidikan dan pengajaran beliau ialah Pengurusan Islam, Pengurusan Kualiti, Pengurusan Insan, Pengurusan Institusi Islam, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dan Epistemologi Islam. Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

    Archives

    March 2020
    January 2020

    Archives by Post
    • Permulaan kalam
    • Ini bukan kes 'Biru Mata Hitamku'
    • Bila benci dan dendam menguasai
    • Bila ingin putus asa, Bila terasa mahu gagal
    • Penyejuk mata ratu hati
    • Catatan Spondy 1
    • Catatan Spondy 2
    • Catatan Spondy 3

    Categories

    All

    RSS Feed

Site powered by Weebly. Managed by Exabytes.my - Malaysia
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact