fadzila-azni.com
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact
LAKARAN HATI

TINTA TAK BERTAMBAT

CATATAN SPONDY - EPISOD DETIK ITU AKHIRNYA TIBA

3/25/2020

0 Comments

 
Akhirnya seusai solat Zuhur di musolla kecil yang disediakan di wad, saya dimaklumi untuk bersedia. Sebelum ini telah diupdate pembedahan saya akan dijalankan pada jam 4. Saya lihat jam masih pukul 1 menghampiri ke pukul 2. Saya tanyakan Dr. S yang membawa berita tersebut. Diawalkan kah pembedahan saya? Dr. S maklumkan memang persediaan perlu awal. Jadi saya segera salin pakaian yang disediakan khusus untuk jalani pembedahan. Awal sebelum itu saya diberikan cecair Chlorexidine untuk mencuci seluruh badan. Ia bertujuan menghapuskan kuman pada kulit. Saya mohon kepada Misi dan Doktor untuk terus kekal memakai tudung dan hanya membukanya untuk digantikan dengan disposable surgical cap yang dibekalkan setelah memasuki dewan bedah. Surgical cap tersebut saya lihat lutcahaya dan tentunya tidak dapat menutup aurat pada rambut sepenuhnya dalam perjalanan saya ke Dewan Bedah. Alhamdulillah, Dr. S yang baik hati membenarkan. Sekalipun beliau bukan Muslim namun beliau sangat memahami dan menghargai prinsip yang dipegang oleh pesakit. Alhamdulillah, terima kasih yang Allah.

Saya kemudian disorong di atas katil untuk menuju ke Dewan Bedah yang terletak 2 tingkat ke bawah daripada wad yang diduduki. Dalam perjalanan keluar daripada wad, Dr. S melambai-lambai seraya tersenyum sambil mengucapkan kata-kata perangsang semuanya akan berlalu dengan baik. Encik Suami tidak mengiringi ke Dewan Bedah kerana hari tersebut ialah hari Jumaat. Beliau masih lagi dalam urusan Solat Jumaat berjamaah. Selepas itu pula beliau perlu menguruskan anak untuk ke kelas mengaji. Alhamdulillah Encik Suami sangat-sangat membantu menguruskan kesemua urusan rumahtangga dalam tempoh ini tanpa sedikit pun mengeluh. Sungguh-sungguh memahami. Pada sebelah pagi tadi juga telah siap berpesan kepada Encik Suami agar tidak perlu datang untuk menghantar saya ke Dewan Bedah. Sejujurnya saya memang sangat gementar. Kehadiran Encik Suami sebenarnya akan sangat-sangat menenangkan. Namun, beliau ada urusan yang tidak dapat tidak, perlu dilaksanakan. Perasaan saya boleh ditekan jauh-jauh di sudut hati.

Sesampai sahaja di Dewan Bedah saya diletakkan dahulu di tempat persediaan untuk pembedahan. Saya didorong dia atas meja pembedahan. Tudung saya digantikan dengan surgical cap. Satu lagi branula dipasangkan di tangan kiri. Sebelum ini branula yang dipasang pada tangan kanan masih ada. Saya lihat team yang terlibat semuanya sibuk mempersiapkan diri. Dari jauh saya nampak Miss K, seorang lagi pakar yang mengurus kes saya. Menurut Mr. Z, pakar spine yang juga merupakan ketua team pembedahan saya, Miss K juga akan berada dalam team beliau untuk pembedahan saya. Alhamdulillah. Nampaknya semua berjalan seperti yang dirancang.


Setelah semuanya siap saya dimasukkan ke ruang pembedahan. Apabila semuanya telah siap anesthesia mask ditekupkan ke hidung dan mulut saya. Dalam hati saya mengucap kalimah syahadah. Saya ucapkan juga dalam hati saya redha segalanya dan memohon agar Allah SWT menjaga Encik Suami dan Permata Hati saya sebaiknya. Terutamanya Permata Hati yang masih berusia tersangat muda. Moga Allah SWT menjaga mereka sekiranya pembedahan ini tidak seperti yang diharapkan. Saya pasrah. Beberapa saat selepas itu saya terus tidak sedar.

Buka sahaja mata saya lihat saya sedang didorong di atas katil keluar daripada Dewan Bedah. Di hujung katil sebelah kiri saya lihat Encik Suami turut berjalan sambil memandang wajah saya seraya tersenyum. Terasa betul-betul tenang bila melihat wajah itu. Saya kembali tidak sedar.

Apabila membuka mata semula saya sudah berada di wad. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Bermakna 6 jam lebih saya di dalam pembedahan. Saya lihat Encik Suami menggantikan surgical cap saya dengan tudung. Beliau menyuakan air kosong dengan straw ke mulut saya. Beliau meminta saya minum. Beliau maklumkan ramai yang bertanya tentang bagaimana keadaan saya. Tuan Pengarah, Guru saya. Semuanya bimbang kerana tidak dapat hubungi telefon saya - tentulah kan. Terkejut juga kalau hubungi telefon, saya yang menjawab semasa menjalani pembedahan saya sendiri. Saya minta bantuan En. Suami untuk maklumkan saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Saya juga tidak boleh berhenti batuk. Memang kesan biasa selepas pembedahan. Itulah yang Misi-Misi maklumkan. Kerana semasa pembedahan, tiub pernafasan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan untuk membantu pernafasan di sepanjang tempoh pembedahan. Perkara ini menyebabkan kegatalan terasa di saluran pernafasan. Ia merupakan penyebab utama berakunya batuk beberapa hari selepas pembedahan.

Dalam kesayupan saya juga mendengar misi berpesan kepada Encik Suami jangan diberi makan lagi kepada saya kerana bius daripada pembedahan boleh juga mengakibatkan kesan sampingan seperti muntah-muntah pada kebanyakan orang. Jadi berterusanlah saya perlu menahan diri daripada makan. Tak mengapa, sebab bukanlah merasa lapar pun di saat itu. Perasaan yang lebih dominan pada ketika itu ialah mengantuk yang amat sangat. Setelah Encik Suami minta izin untuk pergi kerana sang Permata Hati di rumah asyik bertanyakan beliau saya lalu terlelap.

Sesekali saya dikejutkan oleh Misi untuk diambil tekanan darah - saya dimaklumi tekanan darah saya terlalu rendah, suhu badan - normal tidak demam, diberikan iv antibiotik dan morfin untuk tahan sakit serta untuk persalinan diri yang juga diuruskan oleh Misi. Alhamdulillah. Selepas tiap kali dikejut, terus terlelap semula.

Di tengah malam, terjaga dan terus muntah berkali-kali. Hanya air sahaja yang keluar. Saya memanggil Misi. Mereka segera datang. Pergerakan saya masih sangat terhad. Saya pasrah diperlakukan apa sahaja oleh Misi yang sangat mengambil berat keadaan tiap pesakitnya. Setelah saya benar-benar berhenti muntah mereka segera lap mulut dan badan saya yang dibasahi muntah, menukar pakaian saya, alas tempat tidur dan membersihkan muntah yang telah mengotori lantai di sekeliling katil. Dan, sekali lagi saya terlelap.

Picture
0 Comments

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.

    Insan ini

    Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. 

    Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Perakaunan) dan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Ekonomi Islam) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ijazah Doktor Falsafah beliau diperoleh menerusi tesis beliau yang bertajuk Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di Malaysia juga dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 

    Bidang penyelidikan dan pengajaran beliau ialah Pengurusan Islam, Pengurusan Kualiti, Pengurusan Insan, Pengurusan Institusi Islam, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dan Epistemologi Islam. Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

    Archives

    March 2020
    January 2020

    Archives by Post
    • Permulaan kalam
    • Ini bukan kes 'Biru Mata Hitamku'
    • Bila benci dan dendam menguasai
    • Bila ingin putus asa, Bila terasa mahu gagal
    • Penyejuk mata ratu hati
    • Catatan Spondy 1
    • Catatan Spondy 2
    • Catatan Spondy 3

    Categories

    All

    RSS Feed

Site powered by Weebly. Managed by Exabytes.my - Malaysia
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact