fadzila-azni.com
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact
LAKARAN HATI

TINTA TAK BERTAMBAT

CATATAN SPONDY - LENA YANG SESUNGGUHNYA

3/26/2020

0 Comments

 
Seawal jam 5 pagi sehari selepas pembedahan saya dikejut untuk diberikan antibiotik dan juga morfin. IV antbiotik  disuntik ke branula di bahagian atas pergelangan tangan. Saya tidak ingat tangan yang mana satu kerana kedua-dua tangan saya kelihatan ada branula. Saya juga dalam keadaan antara sedar dan tidak sedar. Morfin, salah satu ubat penahan sakit opioid pula disuntik di kawasan collar bone. Sakit? Buat masa itu, deria rasa pada kulit saya tidak aktif. Rasa yang paling dominan hanyalah mengantuk yang amat.

Kemudian seperti biasa setiap selang beberapa jam tekanan darah dan suhu badan di ambil. Saya bertanyakan kepada Misi, sudah bolehkah saya bergerak. Sejak daripada selesai pembedahan semalamnya sehingga ke keesokan pagi tersebut saya berbaring mengadap ke siling tanpa bergerak. Lenguh di seluruh anggota tidak terkata. Misi hanya memaklumi nota daripada pakar hanya mengatakan katil sahaja boleh digerakkan paling maksimum 60 darjah ke atas. Mereka meminta saya menunggu team spine tiba untuk memastikan had limitasi pergerakan saya dalam tempoh 24 jam ini.

Selesai subuh Encik Suami sudah tiba ke wad. Saya dalam keadaan sedar ketika itu. Beliau bertanyakan sama ada saya mahu bersarapan atau tidak. Beliau ada membawakan bubur. Oleh kerana bimbang akan muntah kembali, saya menolak. Saya hanya minum air beberapa teguk. Encik Suami memaklumi akan membawa Ibu Tercinta untuk menjaga saya. Saya mengiakan sahaja kerana masih lagi terasa gayat untuk ke mana-mana. Semestinya perlu juga membersihkan diri dan segalanya. Tentu dengan adanya Ibu Tercinta di sisi sangat-sangat menenangkan hati ini dan sangat-sangat membantu tatkala punya keterhadan dalam pergerakan fizikal. Sekalipun dipasang catheter, jadi untuk sementara saya tidak perlu ke tandas, namun hadirnya seseorang di sisi di sepanjang tempoh 24 jam awal selepas pembedahan ini sangat-sangat mengamankan hati. Selain tiub catheter, terdapat juga tiub untuk sistem drainage darah daripada wound surgeri dipasang daripada belakang dan disalurkan dalam bekas yang tergantung di sisi katil. Dalam bekas kelihatan darah pekat terus menitik. Keadaan begitu memang tidak menyelesakan langsung. Namun, digagahi juga kesemua. Encik Suami juga membantu sepenuh hatinya. Tidak sampai hati melihat Encik Suami begitu bersusah payah. Namun, bak kata beliau, itu memang menjadi tanggungjawab beliau untuk laksanakan sebaiknya. 

Selain merasa begitu mengantuk dan begitu tiada upaya untuk membuka mata, satu perkara penting yang disedari ialah tiada lagi kesakitan yang amat di bahagian betis kaki. Papan punggung juga tidak terasa sakit seperti mendapat PMS. Begitu juga dengan bahagian dalam peha. Tidak lagi terasa tegang. Kebas-kebas menyucuk dihujung kaki juga tiada. Keseluruhan kaki juga tidak terasa seperti tiang elektrik yang maha keras. Berbaring dalam keadaan lama juga tidak memberikan kesan yang menyakitkan. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Saya beritahu Encik Suami dan nampak wajah beliau menjadi lega. Paling tidak pembedahan ini menampakkan tanda positif. Alhamdulillah 'alaa kulli hal.

Apabila waktu menghampiri tengah hari, spine team tiba. Saya nampak Miss K, Mr L dan keseluruhan team ada. Keseluruhan team bermaksud termasuk juga para HO yang sedang menjalani pelatihan perubatan mereka serta MO. Cuma Mr Z selaku ketua spine team sahaja yang tiada. Kesemuanya ada dalam tujuh orang termasuk Miss K dan Mr L. Ya, saya sebagai pendidik di universiti sangat faham, sessi rawatan saya bermakna sessi pembelajaran kepada doktor-doktor pelatih dan bakal pakar. Saya merelakan, demi pengetahuan, demi maslahah ammah. Sesampai sahaja Miss K di katil terus saya tanyakan, sudahkah saya boleh bergerak. Beliau memaklumkan, ya, sudah tentu. Mesti bergerak untuk memastikan peredaran darah kembali normal dan mengelakkan berlakunya blood clot terutamanya di bahagian kaki. Miss K lantas mengajar saya untuk bangun dari katil. Saya perlu secara serentak menjatuhkan kaki ke bawah katil sambil mengangkat badan dalam keadaan kekal mengiring. Beliau meminta Encik Suami untuk menolong memaut tangan apabila saya bangun dari katil bagi tempoh beberapa hari. Miss K juga memaklumkan saya sudah boleh berjalan dengan perlahan-lahan selepas 8 jam pembedahan, bermakna saya sepatutnya sudah mula boleh berjalan pada masa spine team tersebut hadir.

Seterusnya Miss K meminta MO memeriksa saraf dengan cara meminta saya menolak tangan dengan kaki, baik di bahagian lutut, bahagian pergelangan dan bahagian ibu jari kaki. Mereka sangat gembira melihat semua pergerakan dapat dilakukan dengan baik tidak seperti sebelum pembedahan. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Miss K meminta saya menjaga wound sebaiknya kerana pembedahan telah dilakukan dengan sebaik mungkin. Proses close selepas pembedahan juga menurut MIss K sudah dilaksanakan dengan baik. Jadi sekarang giliran saya pula menjaga wound sebaik mungkin untuk kekalkan keadaan menjadi baik. Saya berjanji akan berusaha. Beliau juga berpesan, untuk solat perlu pastikan secara duduk dahulu dengan tidak membongkokkan badan. Saya juga tidak dibolehkan mengangkat barang yang lebih berat daripada 3 kg (?? Tesis sebuah sahaja sudah hampir menyamai 3 kg), dan tidak memusingkan bada secara twist. Dan yang paling-paling pantang, pastikan tidak jatuh. Phewww.  Kesemua pesan tersebut dapat difahami dengan jelas sekalipun merasakan ada sedikit-sedikit kesan morfin pada diri saya. Tetapi, ia merupakan hal serius. Mesti perlu diingati sungguh-sungguh. Dapat dilihat juga kumpulan HO yang mendengar dan meneliti penjelasan Miss K dan Mr L. Ketika ini saya terimbau wajah pelajar-pelajar di bawah pengajaran dan penyeliaan saya. Saling tak tumpah. Ada yang sangat aktif berpatisipasi, ada yang sibuk menyalin, ada yang bertanya jawab dan seperti biasa ada juga yang sangat tidak aktif sekalipun ditanya Miss K atau Mr L juga sepertinya tiada jawapan. Berdiri pun jauh-jauh sahaja, kurang pasti mereka dapat melihat apa yang ingin ditunjuki oleh Miss K dan Mr L atau tidak. Bila ditegur, ada alasan pula diberikan. Saya baru empat hari bermula sebagai HO. Ternyata itu bukan jawapan yang disukai, kerana ditanya balik, Jadi, apa yang kami buat untuk empat hari lepas? Saya juga akan berikan smashing yang sama kalau mendengar jawapan seperti itu. Oh, rindunya kepada pelajar dan bekas pelajar saya.

Selepas team spine, hadir pula team bius. Segerombolan juga yang hadir merangkumi pakar, MO dan HO. Ujian kesakitan pula dilaksanakan. Akhirnya saya dilihat sudah boleh dihentikan morfin. Terakhir akan diberikan pada sebelah petang dan akan dihentikn terus selepas itu. Sama seperti kumpulan team spine, ada HO yang pelbagai sifat dan daya kemampuan mereka.

Setelah team bius pergi, Encik Suami membiarkan saya melayani mengantuk saya dan pergi untuk membawa Permata Hati dan Ibu Tercinta masuk ke wad. Pada masa itu - Minggu ketiga Februari, keadaan wabak masih terlalu mild. Jadi Permata Hati dan Ibu Tercinta dibenarkan masuk ke wad untuk menziarahi. Rindunya saya kepada kesemua insan ini. Permata Hati sangat memahami, sekali pun usia tidak sampai sedekad namun tidak banyak masalah yang dicipta. Alhamdulillah. Ibu Tercinta pula dalam tempoh idah kerana lebih kurang dua bulan lalu Ayah Tercinta meninggalkan dunia fana' ini. Setelah merujuk kepada yang berilmu, mereka mengatakan Ibu Tercinta boleh dibawa merentasi sempadan beberapa buah negeri untuk bersama saya. Alhamdulillah. Selesai waktu melawat, Encik Suami dan Permata Hati pulang ke rumah. Tinggal Ibu Tercinta membantu diriku memenuhi segala keperluan. Kasihan sungguh melihat beliau. Dalam usia yang sebegini seharusnya diri ini yang menjaga beliau dan bukannya sebaliknya.

Bila mata tidak tahan berjaga, diri ini terus tertidur. Sekali-sekala bila terjaga, dilihat Ibu Tercinta juga tersengguk-sengguk. Perancangan yang juga menuruti permintaan Ibu Tercinta untuk menemani diri ini sepanjang malam ini kubatalkan dan kumaklumi pada Encik Suami. Biarlah Ibu Tercinta berehat dengan aman di rumah. Lebih-lebih diri ini sudah dibenarkan bergerak oleh pakar dan catheter masih lagi terpasang. Bermakna belum ada keperluan untuk ke tandas. Misi-misi juga sangat membantu untuk memenuhi keperluan apabila diperlukan.

Jadi, lewat petang Encik Suami, Permata Hati dan Ibu Tercinta pulang. Saya tinggal bersama teman-teman se-wad ortopedik. Dan mata pun terlelap lagi.

Picture
0 Comments

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.

    Insan ini

    Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. 

    Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Perakaunan) dan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Ekonomi Islam) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ijazah Doktor Falsafah beliau diperoleh menerusi tesis beliau yang bertajuk Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di Malaysia juga dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 

    Bidang penyelidikan dan pengajaran beliau ialah Pengurusan Islam, Pengurusan Kualiti, Pengurusan Insan, Pengurusan Institusi Islam, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dan Epistemologi Islam. Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

    Archives

    March 2020
    January 2020

    Archives by Post
    • Permulaan kalam
    • Ini bukan kes 'Biru Mata Hitamku'
    • Bila benci dan dendam menguasai
    • Bila ingin putus asa, Bila terasa mahu gagal
    • Penyejuk mata ratu hati
    • Catatan Spondy 1
    • Catatan Spondy 2
    • Catatan Spondy 3

    Categories

    All

    RSS Feed

Site powered by Weebly. Managed by Exabytes.my - Malaysia
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact