|
Seorang insan merangkumi 3 elemen - hati, akal dan nafsu. Maka apabila berbuat, tindakannya tidak akan lari daripada pengaruh ketiga-tiga elemen ini, bergantung kepada elemen mana yang lebih dominan. Kalau yang lebih dominan ialah akal - maka lahirlah tindakan yang rasional. Kalau yang dominan pula ialah nafsu maka lahirlah tindakan yang melulu. Kalau hati yang memimpin tindakan bergantung pula pada tahap iman yang bertapak di hati. Amat berbahagia kiranya tindakan didorong oleh keimanan yang tulus kepada Allah SWT, kerana tindakan itu akan lebih terbantu - dibantu oleh Allah SWT Penguasa seluruh alam. Sebalik, akan rugilah kalau tindakan itu berpunca atau didorong atau didominasi oleh nafsu tidak terdidik yang lazimnya penuh dengan hal negatif seperti kebencian dan dendam. Buruknya implikasi tindakan yang bersumberkan kebencian dan dendam boleh dipelajari daripada kisah musuh hakiki manusia, syaitan yang direjam. Titik tolak syaitan menjadi makhluk kufur ialah kebenciannya kepada Nabi Adam a.s. Permusuhan yang disebut-sebut dalam al-Quran - Sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu [al-Baqarah, 2: 168]; juga daripada perasaan dendam syaitan terhadap keturunan Adam a.s. Tidak ada kebaikan pun menyemarakkan kebencian dan dendam dalam hati, apatah lagi memanifestasi perasaan tersebut dalam tindakan dan perbuatan. Sedihnya, hari ini dapat dilihat berapa banyak kata-kata, perbuatan, tindakan yang semata berpunca daripada benih kebencian dan dendam. Berapa banyak pada hari ini yang kerana pernah menjadi mangsa, maka mula memangsa. Kerana tidak dapat menerima perbezaan yang diharuskan maka mula mendiskriminasi kerana berbeza. Kesemua itu menjadikan kitaran kebencian bukan sahaja berlarutan berputar malah makin mengganas putarannya. Apakah kebaikan yang diperoleh? Tiada! Apakah kemudaratan yang timbul daripada? Banyak! Terlalu banyak!
0 Comments
Your comment will be posted after it is approved.
Leave a Reply. |
Insan ini
Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. Archives
December 2025
Archives by Post
Categories |
RSS Feed