fadzila-azni.com
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact
LAKARAN HATI

TINTA TAK BERTAMBAT

PENYEJUK MATA RATU HATI

1/31/2020

0 Comments

 
Semasa berkonsultasi dengan pakar mata yang merawat anak, beliau memaklumi bahawa anak diperhatikan sekalipun dalam kesakitan masih boleh tersenyum, masih boleh bersembang dengan beliau, masih lagi ramah mesra, tidak ketakutan apabila dirawat sekalipun yang dirawat ialah bahagian dalam mata dan peralatan rawatan merupakan equipment yang seharusnya menggerunkan kanak-kanak. Hal ini jarang diperhatikan pada pesakit kanak-kanak yang lain. Beliau merumuskan berdasarkan pengalaman beliau yang sebelum-sebelum ini, sikap anak datang daripada cara didikan terhadap anak dan bagaimana hubungan kedua ibu ayah dengan anak di sepanjang anak dibesarkan. Beliau berpesan, cara didikan dan bagaimana kami berdua suami isteri berhubung dengan anak ialah cara yang positif dan harus diteruskan untuk memastikan anak dapat terus bersikap positif dan mampu meraih pelbagai kejayaan di masa hadapan.

Jujurnya bila melahirkan, tugas sebagai ibu benar-benar membuatkan diri ini gementar. Gementar tidak melakukan perkara yang betul dalam membesarkan dan mendidik anak, gementar kerana tidak menjaga dan melindungi anak sebaiknya atau  secukupnya, gementar akan membuat silap sehingga boleh mempertaruhkan anak itu sendiri, gementar kerana tidak melakukan secukupnya demi kebaikan, kebajikan dan keimanan anak. Jujurnya juga, di awal kelahiran saya benar-benar mencari satu figura yang boleh dijadikan role-model ibu mithali yang berkerjaya dan berjaya dalam menjalankan kedua-dua fungsi ibu dan kerjaya dengan cemerlang. Dalam sejarah misalnya, lebih banyak cendekia Muslim yang ditonjolkan berbanding Muslimah. Sedangkan kedua-dua sekalipun pembezanya hanyalah taqwa, namun majoriti hal yang membawa kepada ketaqwaan itu berbeza antara keduanya. Jujurnya (Jujur yang ke sekian kali), saya tidak berpeluang menemukan figura tersebut di hadapan mata. Dari sudut keilmuan pula, memang benar bahawa panduan keibubapaan sangat banyak diterbitkan oleh pelbagai pihak dari pelbagai aspek, tetapi memetik kata-kata:

The problems with all the how-to, step-by-step books is they don't take into account the exceptions to the rules. They never leave room for the outliers, the geniuses, the miracles. Because books are black and white and everything in real life is a messy shade of grey. So nothing can truly prepare us for the beautiful, painful things we never imagined possible. Or the moments no one ever saw coming. - Richard Weber (GA S15E7).
Jadi, saya ber'ijtihad' sendiri tentang apa yang harus dilakukan dalam konteks sekarang, dalam konteks pekerjaan yang saya lakukan, dalam konteks persekitaran yang saya lalui dan hanya berserah kepada Allah akan 'ijtihad' tersebut, moga-moga ia ialah apa  yang Dia redhai. Tumpuan pada anak, pendidikannya, penjagaannya, pengorbanan yang dilakukan deminya - semuanya dilakukan sepenuh hati sekalipun terkadang terpaksa mengambil keputusan - kerjaya boleh ditangguhkan seketika. Walau dicemuh, direndahkan, dikata, malah dijerkah tetapi untuk julung kali, hati ini tidak kisah akan semua itu. Ini anak yang dilahirkan dari rahim ini, ia zuriat suami yang menjadi amanah Allah maka dia perlu dijaga walau apapun yang dipertaruhkan. Jujurnya, saya tidak pernah menyesali keputusan yang dilakukan dari awal kehadirannya hinggalah ke hari ini. Dan, kata-kata doktor ini tentang apa yang beliau perhatikan terhadap Ilman membuatkan air mata menitis, syukur ya Ilahi, Engkau lintaskan dalam hati ini apa yang harus dijalani. Syukur atas tiap kurniaan-Mu. Dan aku berdoa pada-Mu ya Allah, moga Engkau sentiasa memberi petunjuk. Moga Engkau sentiasa mendorong kami kepada jalan yang menuju keredhaan-Mu. Moga Engkau sentiasa Menjaga, Memelihara, Melindungi dan Membantu dalam Penjagaan-Mu, Pemeliharaan-Mu, Perlindungan-Mu dan Bantuan-Mu.

Reference:
Weber, R. (2018). Anybody Have a Map? Retrieved from:
https://greysanatomy.fandom.com/wiki/Anybody_Have_a_Map%3F.
Picture
0 Comments

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.

    Insan ini

    Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. 

    Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Perakaunan) dan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Ekonomi Islam) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ijazah Doktor Falsafah beliau diperoleh menerusi tesis beliau yang bertajuk Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di Malaysia juga dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. 

    Bidang penyelidikan dan pengajaran beliau ialah Pengurusan Islam, Pengurusan Kualiti, Pengurusan Insan, Pengurusan Institusi Islam, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dan Epistemologi Islam. Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

    Archives

    March 2020
    January 2020

    Archives by Post
    • Permulaan kalam
    • Ini bukan kes 'Biru Mata Hitamku'
    • Bila benci dan dendam menguasai
    • Bila ingin putus asa, Bila terasa mahu gagal
    • Penyejuk mata ratu hati
    • Catatan Spondy 1
    • Catatan Spondy 2
    • Catatan Spondy 3

    Categories

    All

    RSS Feed

Site powered by Weebly. Managed by Exabytes.my - Malaysia
  • Home
  • Research
  • Publications
  • Teaching
  • Supervision
  • Blog
  • Contact