|
Dahulu semasa zaman persekolahan pernah beberapa kali menghidapi sakit mata merah. Nama sainsnya penyakit konjunktivitis. Ia dirujuk sebagai jangkitan virus pada mata sehingga menyebabkan keradangan pada lapisan atau selaput konjunktiva pada mata. Malah, sewaktu zaman persekolahan, memang sengaja berkongsi air mata rakan-rakan yang dijangkiti konjunktivitis hanya semata supaya jatuh sakit (secara berjemaah dengan rakan-rakan) dan boleh bercuti daripada menghadiri kelas untuk beramai-ramai menginap di sick-bay. Zaman berlalu. Kini apabila melihat mata anak pula menjadi merah, maka terus terfikirkan penyakit konjunktivitis. Tidak dinafikan sememangnya teringat bagaimana contagious-nya penyakit mata ini. Maka pada hari penyakit ini mula tampak pada mata anak, terus beliau dicutikan untuk dibawa ke klinik. Sebagaimana yang diagak, ubat titis telah diberikan oleh doktor selain ubat gatal. Hari berlalu dan apabila masuk hari keempat melihat penyakit mata tersebut semakin melarat sehingga mengakibatkan bengkak pada kelopak mata, maka anak sekali lagi dibawa ke klinik. Ubat titis yang lebih kuat menurut doktor yang ditemui telah diberikan bersekaligus dengan antibiotik, ubat demam dan ubat gatal. Tiga hari berturut juga anak tidak hadir ke sekolah. Alhamdulillah bersempena Tahun Baru Cina maka sekolah juga bercuti. Lega juga terasa kerana tidaklah banyak mata pelajaran yang anak terpaksa terlepas. Namun, setelah habis antibiotik yang diberikan, mata anak bukan setakat tidak semakin sembuh malah semakin serius sehingga kelopak mata sukar dibuka. Urat-urat pada mata juga kelihatan hitam atau biru. Hati ibu kini mula merasa sungguh takut. Lalu bersama suami anak terus dibawa ke hospital. Hospital pertama memaklumi kerana bersempena Tahun Baru Cina maka pakar mata bercuti panjang. Mereka merujuk ke hospital kedua. Alhamdulillah, di hospital kedua, pakar mata ada pada masa cuti. Beliau memaklumi penyakit mata anak bukanlah konjunktivitis tetapi orbital cellulitis. Tanpa rawatan segera orbital cellulitis ini boleh mengakibatkan kebutaan, kecatatan pada mata, hilang pendengaran, sepsis, jangkitan kuman pada selaput otak dan saraf tunjang, otak bernanah dan menjadi bengkak. Allahu akbar. Sebegitu serius. Terus hati berkecamuk berfikir yang bukan-bukan. Namun, Alhamdulillah, Allah lintaskan dalam hati kami berdua suami isteri membawa anak terus ke hospital dan Alhamdulillah juga Allah hadirkan pakar mata yang bertugas sekalipun semasa cuti perayaan yang panjang. Terima kasih ya Allah. Sebaik didaftar masuk, anak terus diberikan antibiotik dalam bentuk suntikan dan diminta masuk ke dalam wad. Ujian darah dan beberapa ujian lain dilakukan untuk kenal pasti tahap keseriusan penyakit. Kini sudah masuk hari ketiga anak dirawat di hospital dan kami berdua masih mengharapkan agar semuanya kembali sembuh dan dijauhkan daripada segala bentuk keburukan. Moga dipermudahkan ya Allah. Allahumma ya Fattah ya Salam ya Mukmin.
0 Comments
Your comment will be posted after it is approved.
Leave a Reply. |
Insan ini
Fadzila Azni Ahmad merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di SRK Convent Bukit Nanas (2), Kuala Lumpur serta pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. Archives
December 2025
Archives by Post
Categories |
RSS Feed